Penubuhan Parti Demokratik Sabah (PDS) merupakan satu cabaran yang paling besar dilalui oleh pemimpin-pemimpin UPKO yang masih bertahan sehingga kini. Fitnah seperti mereka telah membelot bangsa, melompat parti, mudah dibeli oleh wang dan tamak kuasa merupakan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin dan masyarakat Kadazandusun di awal penubuhan parti ini. Malah yang sedihnya, pemimpin seperti Huguan Siou dan beberapa pemimpin lain yang masih ada sekarang ini turut melemparkan fitnah tersebut sedangkan peranan serta pembabitan mereka sendiri dalam penubuhan PDS sangat jelas. Hakikatnya, Resolusi Seri Gaya 14 Mac 1994 memang wujud dan dipersetujui oleh semua ADUN dan ADR PBS yang hadir pada ketika itu.Tanda-tanda kejatuhan Kerajaan PBS mula kelihatan dengan tindakan tergesa-gesa YB Datuk Joseph Pairin Kitingan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) setahun lebih awal. Pemerhati politik mendakwa bahawa tindakan Presiden PBS membubarkan DUN tanpa mengadakan perbincangan terperinci dengan pemimpin-pemimpin kanan parti terutama sekali Timbalan-Timbalan Presiden Parti ketika itu adalah dianggap tidak bijak sama sekali. Perletakan jawatan dan keahlian parti oleh YB Datuk Yong Teck Lee, salah seorang Timbalan Presiden merupakan satu testimoni ketidakpuashatian terhadap cara Datuk Pairin membuat keputusan pada ketika itu. Datuk Yong kemudiannya menubuhkan Parti Maju Sabah (SAPP) dan menyatakan kekesalan beliau kerana tidak lagi diminta berbincang atau berunding khususnya mengenai perkara-perkara yang melibatkan kepentingan masyarakat Tionghua di Sabah. Datuk Pairin juga enggan meletakkan beliau sebagai calon pilihanraya, termasuklah beberapa ADUN lain yang dikatakan tidak setia kepada Datuk Yong. Malah, YB Datuk Bernard Dompok, seorang lagi Timbalan Presiden PBS juga hanya diletakkan sebagai calon di saat-saat akhir.Kejatuhan Kerajaan PBS sebenarnya disebabkan oleh kegagalan parti tersebut mendapatkan majoriti besar dalam pilihanraya umum tahun 1994. Kedudukan dan kestabilan politik Kerajaan PBS menjadi lemah apabila tiga orang wakil rakyat PBS bertindak keluar parti dan memasuki Barisan Nasional. Tindakan pemimpin-pemimpin PBS, khususnya ASUN dari kumpulan masyarakat Tionghua dan Bumiputera Islam telah melemahkan lagi kekuatan PBS apabila masing-masing keluar daripada parti itu. Akhirnya Datuk Pairin terpaksa meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri pada 17 Mac, 1994.